Friday, October 30, 2009

BONUS KAKITANGAN AWAM

Assalamualaikum & salam,

Makin lama aku tengok makin rajin pulak aku tulis blog. Tapi nak buat macam mana kan. Sekarang ni datang pejabat, satu kerja pun tak ada, kalau ada tu sikit-sikit je la & aku selalu siapkan jugak pada hari kerja tu diberi. Ini semua gara-gara aku akan bertukar kerja lagi sekali. Ada orang pelik kenapa aku asyik tukar kerja. Tapi, aku baru je 2 kali tukar kerja. Ada orang tu sampai 3-4 kali tukar kerja dalam setahun, biasa je. Mungkin yang pelik tu sebab diorang dapat kerja yang seronok & 'best'. Tapi kerja aku tak macam tu, jadi salah ke tukar kerja? Hehe.. Ok, balik ke topik perbincangan tadi. Sebab aku hampir tak ada kerja, maka masa aku dipenuhi dengan melayari internet & menulis blog. Ini antara topik yang selalu aku terbaca, iaitu kerja kerajaan vs kerja swasta.

Aku bukan nak tulis pasal kebaikan & keburukan kerja samada di sektor kerajaan mahupun swasta. Dah berlambak sangat orang diskusi di forum internet pasal benda ni. Kalau korang tak malas, pergi la jenguk-jenguk pakai Google dan yang seangkatan dengannya. Yang paling terbaru forum pasal kerja kerajaan yang aku baca, berkenaan dengan isu bonus untuk staf kerajaan tahun ni. Lepas baca & baca satu persatu komen orang, baru aku perasan satu benda yang memang mesti ada bila orang buka cerita pasal kerja kerajaan. Benda tu ialah komen orang yang seolah-olah anti@jaki gila dengan staf kerajaan. Aku akui yang aku sendiri pernah tergolong dalam golongan anti@jaki ni, tapi itu dulu. Sekarang masih ada, bezanya, kali ini aku tak 'generalize' kan kejakian aku itu.

Tapi mungkin diorang ni bukan anti tak tentu pasal. Kebanyakan diorang mungkin menjadi anti disebabkan pengalaman mereka dengan pekerja khidmat awam ni. Tapi yang jadi tak eloknya bila diorang ni men'generalize'kan penjawat awam ni. Apa dia contoh 'statements' mereka yang anti ni & di'generalize'kan ke atas penjawat-penjawat awam? Aku rasa kebanyakan orang tau dah, macam pemalas, lembap, makan gaji buta, 'tau nak mintak naik gaji je, tapi kerja sampah', menghabiskan duit cukai rakyat dan macam-macam lagi. Ada lagi cakap kerja kerajaan tak mencabarlah, senang sangatlah, boleh goyang kakilah, boleh goyang telur lah dan sebagainya. Masa aku berfikiran sempit pun, aku berpandangan macam tu..huhu.

Jadi benda yang sama jugak aku jumpa masa baca forum pasal bonus kakitangan awam tahun 2009. Tiba-tiba je akan ada satu makhluk yang akan tibai cukup-cukup la kakitangan awam, bermaksud untuk menafikan kelayakan mereka menerima bonus. Diorang mesti akan cakap kakitangan awam ni tak tau nak bersyukur lah, kufur lah sebab asyik meminta-minta je. Lepas tu diorang mesti cakap, "Asyik-asyik bila bentang Belanjawan Negara, mesti fokus pada kakitangan awam. Habis tu, orang kerja swasta bukan rakyat Malaysia ke?". Aku tak nafikan, memang betul sebab aku pun sekarang kerja swasta. 2 tahun kerja, satu haram bonus apekejadah tak pernah aku dapat. Bila dengar kawan-kawan cerita pasal bonus, sakit beb hati aku. Bukan sebab dengki, tapi hati sakit sebab sedih..haha!!

Jadi kali ni, aku fokus bab bonus untuk kakitangan awam dulu la. Dalam forum yang aku cakap tu, kakitangan awam kebanyakannya mengeluh, cakap kerajaan kedekut la, kerajaan dah membazir duit kat benda lain la. Ada tu dapat sikit mengeluh jugak, katanya mana nak 'cover' dengan kos sara diri yang semakin meningkat. Kalau yang anti@jaki kakitangan awam pulak, akan cakap benda-benda yang aku dah tulis kat 2 perenggan sebelum ni. Ada tu yang nak hina-hina profession kakitangan awam (tak mencabar, senang nak mampus kerja). Ada yang macam ala-ala alim, akan suruh kakitangan awam bersyukur la, terima seadanya la. Macam-macam komen la yang ada sampai ada yang terlalu emo jugak la aku baca komen diorang. Pada pendapat aku, tak boleh nak cakap siapa yang betul, siapa yang salah kat forum tu. Orang bagi pendapat, macam aku cakap tadi, berdasarkan pengalaman. Mungkin ada segelintir yang bagi pendapat berdasarkan stereotaip yang dia dengar masa borak-borak kat kedai kopi. Jadi sesiapa pun boleh jadi salah mahupun betul. Tapi, berkenaan dengan bonus untuk kakitangan awam, aku ada pandangan aku sendiri.

Pandangan aku berasaskan pengalaman & senario yang aku nampak, bukan sekadar dengar-dengar orang cakap. Tapi tak semestinya betul. Pasal bonus untuk kakitangan awam ni, aku pun tak berapa setuju dengan apa yang kerajaan buat sekarang. Bonus diberi kepada semua staf tanpa ada prejudis langsung. Kedengaran macam elok bunyinya, tapi hakikatnya tidak. Ramai orang tak setuju dengan cara ni, terutamanya mereka yang berkhidmat dalam sektor swasta. Tapi aku rasa pelik jugak kenapa diorang selalu tak puas hati. Sebab aku rasa kalau kat syarikat swasta pun, bila bonus, mesti semua staf dapat kan? Betulkan kalau aku salah sebab sepanjang 2 tahun aku jadi kakitangan swasta ni, aku tak pernah langsung dapat bonus. Mungkin berbeza pada jumlahnya, tapi aku rasa semua dapat kan? Tapi mungkin mereka berpendapat macam tu sebab diorang dah biasa stereotaipkan kakitangan awam sebagai pemalas, buat kerja senang & macam-macam lagi 'statement' negatif, maka mereka ni tak layak dapat bonus. Habis tu, semua ke yang kerja swasta tu rajin nak mampus & kerjanya susah gila babi? Aku walaupun baru je bekerja 2 tahun, aku tau la jugak politik dalam syarikat swasta. Jangan ingat bila kerja syarikat swasta, dengan gunakan alasan syarikat swasta 'run for profit', maka semua pekerjanya rajin nak mampus. Ada jugak bangsa-bangsa yang mempunyai sifat-sifat yang kebanyakan kita 'generalized'kan pada kakitangan awam. Jenis ambik mudah, buat kerja asal boleh, banyak gebang dari buat kerja. Tapi kenapa kita susah nak nampak? Sebab kakitangan awam kebanyakkannya bekerja dalam memberi perkhidmatan, yang selalu tercongok kat depan kaunter semua tu. Tu je yang kita selalu nampak. Berbeza sama sekali dengan kakitangan swasta. Kalau kerja kat kilang tu, ingat semua ke yang betul-betul kerja? Kalau ada yang mengular, siapa je yang nak nampak? Aku bukan nak menyebelahi kakitangan awam, tapi aku nak kita semua jadi 'open minded' sikit, jangan suka stereotaipkan sesetengah golongan.

Pada aku kalau nak senang, kerajaan sikit-sikit cuba la praktikkan apa yang dipraktikkan di sektor swasta. Aku rasa pengenalan KPI (Key Performance Indicator) ke atas kakitangan awam adalah satu permulaan yang agak baik, walaupun ia dah lama digunakan di sektor swasta. Jadikan KPI sebagai batu ukur dalam pemberian bonus pada kakitangan awam. Yang betul-betul cemerlang, bagi la lebih. Yang sedang-sedang saja, bagi la biasa-biasa. Yang memang hampeh, bagi la ciput je, atau lagi elok jangan bagi je terus. Lagi bagus bagi macam ni. Sepatutnya, bila yang ekstra cemerlang diberi lebih, dapat la sikit sebanyak memotivasikan mereka yang sedang-sedang & hampeh tu. Tapi, mungkin susah kot bab nak memotivasikan tu. Takut yang timbul nanti PHD (perasaan hasad dengki) la pulak..huhu. Tapi kalau betul-betul buat macam tu, orang yang anti@jaki kakitangan awam ni dah takde la nak komplen apa-apa lagi.

Sebenarnya pendapat yang aku bagi tu nampak je macam mudah. Tapi aku tak tau la, sebenarnya susah ke nak buat macam tu? Daripada asyik ada je golongan anti@jaki kakitangan awam benda yang diorang nak komen, baik kerajaan buat je macam apa yang dibuat kat sektor swasta. Baru la nampak adil kan? Tapi kalau masih tak ada perubahan, aku tak tau la nak cakap macam mana lagi. Aku pun pernah rasa tak puas hati dengan servis sektor awam (masa ambil IC baru, masa temankan isteri aku buat surat beranak baru), sebab akak@abang kat kaunter suke buat muka macam kalah judi & cakap macam kita meminta sedekah dengan dia. Tapi tak semua macam tu. Aku masih hormat & hargai jasa sebahagian dari kaki tangan awam, seperti polis trafik yang setiap pagi & petang ada jaga jalan sibuk yang aku guna untuk pergi kerja setiap hari. Kesimpulannya ingat la pepatah Melayu lama, 'Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga'. Jangan sebab sebahagian kakitangan awam macam taik, semua sekali tak dapat bonus.

-Sekian, salam-

Monday, October 26, 2009

1 MALAYSIA

Assalamualaikum & salam sejahtera,

1 Malaysia, slogan baru untuk rakyat Malaysia. Diwar-warkan oleh Perdana Menteri Malaysia sekarang. Ni semua gara-gara keretakan hubungan antara kaum, terutamanya yang majoriti (Melayu, Cina, India). Kadang-kadang aku rasa pelik jugak, samada betul ke antara kita yang berlainan kaum ni, ada masalah ke antara satu sama lain. Buat masa ni, aku bekerja dekat syarikat kaum Cina. Mungkin bukan semua, tapi sebahagian daripada diorang memang baik je. Takde masalah pun dengan orang Melayu yang bekerja kat sini. Tapi pada masa yang sama, bila aku baca blog, aku tengok seolah-olah masalah perkauman ni macam makin teruk pulak. Blog orang Cina kutuk Melayu, blog India kutuk Cina (contoh sahaja). Tapi yang canggih blog Melayu la, sebab kutuk kaum lain & kaum sendiri (yang tidak sama aliran politik) jugak.

Aku sebagai seorang rakyat Malaysia yang lahir pada zaman 80-an amat sedih bila melihat benda ni berlaku. Teringat aku zaman dulu-dulu masa aku sekolah rendah sampai la ke menengah bawah. Nak kata ramai tak la jugak, tapi kira ada jugak la aku berkawan baik dengan mereka yang berlainan kaum. Bagi aku diorang tu kira kawan baik la, tak tau la kalau diorang tak pernah anggap aku kawan baik..huhu. Antara nama yang aku ingat, Saravanan, Tan Teck Hong, Gan Ming Lee, Chong Wai Sun, Teo Soon Chye (tak ingat sangat ejaannya), Cheryl (bukan Cheryl Samad), Alexander Wong Ming Fei (keturunan Wong Fei Hong). Sebenarnya ramai lagi, tapi aku tak ingat dah nama sebab aku dah tua. Ada sorang tu Cina yang kurus gila, & kalau gelak mesti ade iras-iras Smeagol sikit la. Pastu ada lak adik beradik lelaki & perempuan India ni pun aku dah tak ingat nama diorang. Walaupun dah 'lost contact' aku masih anggap diorang ni kawan aku & aku berharap dapat jumpa diorang balik.

Diorang semua ni kawan-kawan aku yang berlainan kaum yang aku kenal dari sekolah rendah sampai la ke menengah bawah (tingkatan 3). Lepas tu aku masuk MRSM. Jeng..jeng..jeng...dari sini la aku 'start' takde kawan selain daripada orang Melayu. Seperti yang diketahui, masa zaman aku MRSM dulu, semua pelajar adalah orang Melayu, belum ada lagi kuota 10% bukan bumiputera. Lepas habis SPM, masa ambik A-Level, pun aku takde kawan bukan Melayu. Yang ada cuma kenalan, kenal-kenal dalam kelas. Kemudian belajar@buang masa kat Taylor's College pun aku takde kawan bukan Melayu walaupun kat situ nisbah Melayu:Cina ataupun Melayu:India amatlah rendah. Aku tak tau kenapa, tapi lepas dari MRSM aku macam susah nak berkawan rapat dengan bukan Melayu. Pelik tapi benar. Mungkin masa kat MRSM dulu aku telah ter'develop' satu sikap yang memang bangsat habis iaitu anti kaum lain. Aku mengaku dulu aku selalu stereotaipkan kaum selain dari Melayu. Cina penipu, India perompak. Tapi itu dulu ok. Sekarang aku dah berubah sikit..huhu. Aku tak bermaksud nak kata MRSM mendidik aku jadi seorang rasis, tapi mungkin tempoh masa selama 2 tahun bergelumang hanya bersama orang Melayu menjadikan aku rasis secara diam. Mesti ada orang yang tak setuju dengan pendapat aku, tapi lantak lah. Pendapat cuma sekadar pendapat, ia bukannya fakta.

Aku tak kata MRSM, atau sekolah-sekolah jenis kebangsaan yang masih wujud sekarang menjadi punca keretakan hubungan antara kaum kat Malaysia. Bagi aku semuanya terletak pada individu tu sendiri. Macam mana kita bereaksi terhadap sekeliling kita. Aku, lepas masuk MRSM, asyik bergaul dengan Melayu je, bila keluar, tak berapa nak reti bergaul dengan bukan Melayu. Jadi, aku salahkan diri aku sendiri je. Aku sebenarnya tak kisah pun nak berkawan dengan bukan Melayu, tapi aku tak berani je nak mulakan. Nak tau sebab apa? Sebab kita semua tahu, kaum masing-masing ada interpretasi sendiri untuk kaum yang lain. Contoh aku bagi, Melayu selalunya dianggap malas & bodoh oleh kaum lain. Cina dianggap pengotor, berlagak & penipu besar oleh kaum lain. India dianggap perosak & penyamun oleh kaum lain. Jadi contoh bila aku (seorang Melayu) nak baik-baik dengan orang Cina, aku risau, sebab nak ke diorang kawan dengan aku, mesti diorang ingat aku ni bodoh & malas, nak kawan sebab nak meniru 'assignment'. Ni lah dia yang menyebabkan aku susah nak berkawan dengan bangsa lain, sebab ada bisikan-bisikan syaitan durjana yang buat aku prasangka buruk (salahkan syaitan pulak..huhu..). Aku tak tau la orang lain macam mana, tapi bagi aku, itu lah punca masalah aku.

Kesimpulannya, aku sedih dengan keadaan zaman sekarang ni. Masing-masing sibuk kononnya nak hak masing-masing. Yang ini nak gulingkan Raja lah, yang itu nak kekalkan ketuanan apekejadah lah. Kenapa macam tu? Sebab masing-masing asyik duduk dalam kelompok masing-masing. Tak pernah nak ambik tau pasal kelompok lain. Disebabkan kononnya nak hak sama rata lah, sebab nak kekalkan ketuanan apekejadah lah, hubungan antara kaum kat Malaysia ni jadi tak baik. Sebenarnya bukan senang tau nak uruskan soal hak-hak ni. Kalau ye pun hak sama rata diamalkan, apa jaminan yang ia akan bersifat adil terhadap semua orang? Apa yang dikatakan hak sama rata tu sebenarnya? Ia tak semudah sepertimana yang kebanyakan orang bising-bisingkan kat luar tu. Bila kononnya hak tak diberikan sama rata, mulalah yang ini cakap yang itu rasis, yang itu cakap itu rasis. Tau tak sesiapa yang melabel orang lain rasis, orang yang melabel tu pun adalah rasis sebenarnya. Banyak boleh dihuraikan dari topik kat atas ni. Tapi insyaAllah aku akan tulis dalam 'post' lain (macam la ada orang nak baca..haha!!). Apa-apa pun, aku harap tak akan berlaku lagi peristiwa 13 Mei 69'. Walaupun aku belum lahir lagi masa tu, aku boleh agak-agak lah macam mana keadaan masa tu. Em...kenapa tak ada orang nak buat filem pasal 13 Mei? Sensitif sangat ke? Aku rasa ada elok dibuat untuk tujuan pengajaran. Lagi satu aku selalu tertanya-tanya. Betul ke antara kaum kat Malaysia ni tegang hubungannya? Atau sebenarnya mula-mula elok, tapi sengaja diapi-apikan oleh golongan tertentu, untuk kepentingan politik & kuasa? Entahlah.....

-Sekian, salam-

*masa kat Uniten akhirnya aku ada sorang kawan bukan Melayu yang agak rapat jugak lah. Tapi rapat-rapat pun, aku boleh terlupa nak jemput datang kenduri kahwin aku. Nama dia Balamoorthy. Nama glamour dia Bala, suka hip hop. Tapi sempat baik-baik masa tu pun dah nak habis pengajian pun. Apa-apahal pun dia memang cool sebab dia suka tolong aku supply barang..hahaha!!!*

TERIMA KASIH PADA YANG SUDI DATANG

Assalamualaikum & salam,

Dengan ini saya ucapkan ribuan terima kasih kepada tetamu-tetamu yang telah meluangkan masa pada 24hb Oktober 2009, datang & memeriahkan kenduri perkahwinan antara saya & isteri tercinta, Juraidah Hashim. Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan lancar dan saya berharap agar mereka yang mengenali kami, doakan la kebahagiaan kami dunia & akhirat.

-Sekian-

Wednesday, October 21, 2009

PENGANGKUTAN AWAM

Assalamualaikum & salam,

Aku rasa semua orang pun tau tahap mana perkhidmatan pengangkutan awam kat negara kita ni. Dan aku rasa hampir semua orang akan setuju kalau dikatakan perkhidmatannya tidak lah sebagus mana. Hanya orang yang 'sekali-sekala mengada-ngada nak guna pengangkutan awam untuk buktikan perkhidmatan yang diberikan adalah terbaik je' yang tak bersetuju dengan pendapat di atas. Aku rasa nak penampar je makhluk yang tak berapa pandai macam tu. Aku pernah la merasa naik pengangkutan awam ni on daily basis. So aku rasa pengalaman aku boleh la diguna pakai serba sedikit.

Aku guna KTM komuter masa aku belajar (buang masa) kat Taylor's College. Tiap-tiap hari seawal 6.30a.m aku akan menuju ke stesen komuter Seksyen 19 Shah Alam dihantar oleh ayah aku. Kalau ayah takde, abang aku pulak jadi mangsa. Kalau dah takde sesiapa untuk dijadikan mangsa, terpaksa lah aku naik bas mini. Samada dihantar atau naik bas mini, aku kena berhenti kat jalan besar depan Sekolah Menengah Seksyen 18 dan menapak ke stesen komuter. Boleh tahan jauh jugak la, tapi sebab masa tu aku muda remaja, jadi itu tak jadi satu isu. Destinasi aku adalah stesen Subang Jaya. Ambil masa 10 minit je seingat aku. Kalau kerusi penuh pun aku tak kisah sangat, masa perjalanan sekejap je. Tapi yang aku tak berapa nak gemar lepas turun kat stesen Subang Jaya. Aku terpaksa menapak dari stesen Subang Jaya ke kolej. Jauh gila tu. 5 hari seminggu pulak tu dan pergi balik lagi. Aku rasa ada perkhidmatan bas dekat stesen Subang Jaya tu, tapi tak tau pulak kalau bas tu lalu depan kolej ke tak.

Point aku kat sini, tak semestinya pengangkutan awam tu adalah pilihan terbaik untuk pengguna bila hendak ke satu-satu tempat. Bila sebut pengangkutan awam, aku mesti akan fokus pada pengangkutan macam komuter, LRT sahaja. Teksi memang aku tak berapa nak ambik tau, kecuali kalau terdesak gila, memandangkan tambang yang paling tinggi berbanding yang lain. Bas pulak sebab masa ketibaannya yang tak menentu, maka menyukarkan aku bajet masa. Tapi tak bermakna pengangkutan macam komuter & LRT takde kelemahannya. Bagi aku, soal orang bersesak-sesak dalam tren komuter/LRT, tu bukan satu masalah yang serius. Itu bagus namanya, sebab menunjukkan betapa rakyat Malaysia ni menyokong penggunaan perkhidmatan pengangkutan awam. Masalah yang sebenarnya adalah tempat-tempat yang dilalui oleh komuter/LRT ni. Coverage komuter/LRT pada pendapat aku tak seluas bas. Dalam erti kata lain, destinasi bila naik komuter/LRT lebih terhad daripada menaiki bas.

Kenapa jadi macam ni? Pada pendapat aku sebab pembangunan yang terlalu rancak dekat sebahagian tempat. Mungkin jaringan perkhidmatan komuter/LRT kurang diberikan perhatian dalam rancangan pembangunan sesebuah bandar. Tapi aku tak rasa itu adalah satu penghalang untuk Malaysia memperolehi perkhidmatan pengangkutan awam kelas pertama. Bagi aku penggunaan pengangkutan seperti komuter & LRT perlu dilengkapi dengan perkhidmatan seperti bas & teksi. Dan aku rasa, benda ni memang dah dilakukan pun sebenarnya, tetapi hanya tertumpu pada bandar-bandar besar, contohnya Kuala Lumpur. Macam mana dengan tempat-tempat luar dari KL? Masa aku belajar kat Taylor's College dulu, bas pun tak masuk ke dalam stesen komuter Seksyen 19. Tapi aku rasa sekarang ni dah ada, perubahan yang baik. Tapi bukan semua tempat mengalami perubahan macam tu aku rasa.

Maknanya di sini, mengikut pendapat aku la, perkhidmatan bas masih lagi penting. Bagi aku, salah satu cara kerajaan boleh mantapkan lagi khidmat pengangkutan awam negara kita ini adalah dengan menaik tarafkan perkhidmatan bas. Tapi perlu diingat, kalau naik taraf khidmat, tak semestinya kena naikkan bayaran untuk khidmat tu. Dulu aku pernah berpendapat, lagi elok naik tarafkan khidmat bas daripada sibuk nak fikir macam mana nak mengefisienkan lagi khidmat komuter/LRT. Bila orang dengar pendapat aku, diorang cakap buat apa, jalan raya masih sesak, kan bas lalu jalan raya jugak. Aku pulak fikir, kenapa jalan tu sesak? Mesti la sebab orang tak yakin dengan pengangkutan awam negara kita. Nak naik komuter/LRT, bukannya semua tempat berhenti. Kalau boleh semua nak komuter/LRT ni berhenti betul-betul depan pintu pejabat diorang. Nak naik bas, nanti sangkut kat kesesakan lalulintas pulak, tak pun, bas lembap, tak ikut waktu yang sepatutnya. Jadi yang pentingnya di sini, kerajaan cuba naik tarafkan dulu servis (dah penat nak taip perkhidmatan) bas, kalau boleh, cuba integrasikan dengan servis komuter/LRT. Naik taraf ni yang paling penting ialah 'availability' bas tu pada waktu yang tepat, bas yang selesa dan apa-apa yang rakyat nak la. Kemudian, khabarkan la tentang kemudahan yang dinaik tarafkan ni, jangan senyap je. Guna la media-media yang ada. Jangan asyik guna media untuk sebar propaganda palsu, gaduh sana, gaduh sini, kutuk sana, keji sini. Lama-kelamaan, orang akan tau dan kemudian cuba untuk gunakan pengangkutan awam. Bila dah ramai cuba, mesti jalan raya pun kurang sesak. Bila jalan raya dah tak sesak, lepas tu bas punya servis pun dah tip-top, makin ramai la yang nak guna pengangkutan awam, tak kira la komuter ke, LRT ke, bas ke. Kan bagus tu.

Cadangan aku ni mungkin tak realistik pada pandangan orang lain. Tapi ini cuma cadangan sahaja. Aku sendiri lagi suka naik pengangkutan awam lebih-lebih lagi pergi kerja. Tapi kat Ara Damansara ni aku tak pernah nampak lagi bas masuk. Samada memang takde bas masuk atau kadar kemasukannya agak rendah ke kawasan tersebut. Aku selalu nampak pekerja-pekerja dari luar negara (Indonesia, Bangladesh dll) keluar dari bas dekat jalan besar, lepas tu menapak ke dalam. Komuter ke, LRT ke memang tak wujud lagi la kat tempat kerja aku tu. Aku harap sangat keadaan ni akan berubah sebab aku tengok jalan raya sekarang makin parah kesesakannya. Bayangkan pukul 10 malam pun boleh sesak dekat Lebuhraya Persekutuan. Maknanya saban hari keyakinan rakyat terhadap servis pengangkutan awam makin hilang. Semua orang nak pergi mana-mana, lagi selesa naik kenderaan sendiri. Ada jalan yang aku selalu lalu 2 tahun lepas lengang je, tapi sekarang asyik-asyik sesak. Kat situ dah terbukti makin hari makin banyak kenderaan yang bertambah kat jalan raya kita. Aku bersyukur sebab sekurang-kurangnya kerajaan ada jugak buat projek komuter, LRT semua. Tapi aku lebih berharap lagi akan ada 'improvement' pada servis pengangkutan awam kita. InsyaAllah, kalau ada kemajuan, makin ramai rakyat yang akan sokong & suka gunakan pengangkutan awam.

-Sekian-

Monday, October 19, 2009

PEMBIAYAAN BANK

Assalamualaikum & salam sejahtera,

Aku rasa semua orang tau pasal pembiayaan bank. Perkataan mudahnya pinjaman bank je. Tapi aku tak tau la sejak bila bank-bank mula guna perkataan 'pembiayaan'. Dulu aku fikir makna pinjaman & pembiayaan tu sama je. Rupa-rupanya tidak. Mungkin tidak!! Aku malas nak berhujah benda-benda yang melibatkan hukum-hakam agama ni, ilmu tak cukup, iman pun lemah. Pendek kata la kan, kalau namanya pembiayaan, maka faedah yang dikenakan tu dibenarkan, tak haram, tidak dipanggil riba'. Lain pulak kalau namanya pinjaman. Aku tak tau sejauh mana benarnya pernyataan di atas. Tapi aku berharap sangat kalau ada sesiapa yang tau pasal benda ni, sila-silalah terangkan pada aku yang jahil ini.

Ada la pada satu masa dulu, dalam tahun ni jugak la, masa aku bujang lagi, aku tengok satu slot dalam rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) kat TV3. Ada satu slot khas tu, MHI akan panggil sorang ni, botak licin jugak kepala dia & aku rasa dia kerja sebagai peguam kot, untuk datang & cerita pasal masalah-masalah hutang ni. Aku suka jugak dengar benda-benda yang dia cakap & nasihat kat orang yang ada masalah hutang ni (bukan hutang dengan along ok, tapi hutang dengan bank). Dia cakap masalah orang Malaysia ni, bila ada masalah nak bayar hutang bulan-bulan dekat bank, selalunya diorang akan lari, cuba hilangkan diri dari pihak bank. Cara tu cuma akan menambah parah je pada masalah mereka. Langkah yang terbaik sepatutnya dilakukan ialah dengan berjumpa dengan pihak bank, beritahu masalah mereka, yang menyebabkan diorang tak mampu nak bayar hutang tu untuk sementara waktu (masa tu ekonomi gawat gila, ramai orang yang diberhentikan kerja). Pihak bank mungkin akan mempertimbangkan masalah mereka & melakukan sesuatu agar kedua-dua pihak dapat manfaatnya. Itu kata saudara peguam botak tu la ok, bukan aku.

Persoalannya kat sini, betul ke bank akan tolong kita, bila kita jumpa & beritahu masalah kita kat diorang? Nak ke diorang bagi kelonggaran pada kita untuk sementara waktu sampai la kita bole sambung balik bayar hutang bulan-bulan tu? Aku ada kenal sorang ni. Dia ada masalah nak bayar pinjaman kereta dia sebab dia takde kerja (dan dalam proses mencari kerja sambil buat kerja, bukan duduk senang lenang goyang kaki kat rumah). Sebelum ni dia dah kerja, tapi sebab ada masalah dekat syarikat tempat kerja dia, dia dah takde kerja. Selama ni dia bayar pinjaman dia tiap-tiap bulan, tak pernah terlepas mahupun terlewat. Kira rekod memang bersih gila la. Tapi kali ni je dia ada tersangkut sikit berikutan kehilangan kerja. Aku nasihatkan dia untuk pergi bank, sebab nak ikut nasihat peguam botak tu la. Dia pun ikut la cadangan aku tu. Berikut adalah perbualan antara kenalan aku ni & pegawai bank yang layan dia (aku reka-reka ikut apa yang aku dengar je):

Kenalan
Pegawai bank

Saya ada masalah nak bayar duit pinjaman kereta bulan ni la. Buat masa ni saya tak bekerja lagi, tapi tengah kerja & cari kerja buat masa yang sama

Owh, ye ke. Jadi apa yang pihak kami boleh bantu?

Saya harap pihak bank dapatlah tolong saya mana yang patut. Sekurang-kurangnya untuk sementara waktu ni, sebelum saya dapat duit dari kerja sampingan saya atau sampai saya dapat kerja lain.

Kami pun tak tau lah macam mana kami boleh bantu.

Saya dengar pihak bank boleh bagi kelonggaran kalau ada masalah untuk bayar pinjaman, mungkin tangguhkan bayaran dulu ke.

Maaf la ye dik. Saya pun tak tau macam mana nak bantu. Kalau adik ada kenal orang dalam ke yang ada pangkat-pangkat besar, senang la kot nak selesaikan masalah ni. Kalau pangkat pegawai macam saya ni, memang tak boleh nak buat apa-apa la.

Macam ni la dik, jangan risau. Standard procedure kami akan tunggu sampai adik tak bayar pinjaman selama 2 bulan, tambah 21 hari lagi, baru kami hantar surat notis amaran sebelum kereta ditarik. Jadi sekarang ni adik tak payah risau sangat ye.

Kenalan aku dah tak tau nak cakap apa lepas tu. Rupa-rupanya setakat itu sahaja pertolongan & pertimbangan yang boleh diberikan oleh pihak bank untuk orang yang ada masalah. Dalam keadaan macam tu pun, nak kena ada kenal orang dalam pangkat besar, baru boleh dipertimbangkan dengan sewajar-wajarnya. Aku pun hairan, betul ke apa yang mamat peguam botak tu cakap? Dia cakap pihak bank boleh tolong kalau kita tampil. Kenalan aku ni dah tampil seawal-awalnya sebelum bank keluar surat notis ke apa ke, tapi yang dia dapat habuk je, kecewa je. Apa hal?!!

Aku rasa betul la apa yang pernah dinukilkan oleh blogger Teh Tarik Gelas Besar. Sebenarnya pihak bank ni sama je macam along-along yang iklan bersepah-sepah kat tiang lampu tu. Beza cuma pada pemakaian sahaja. Aku lupa, pihak bank ni pun beroperasi untuk kaut untung sahaja. Aku tak tau la samada pihak bank ni peduli ke tidak macam mana keadaan si peminjam ni, jenis yang sentiasa bayar tepat pada masanya ke, orang susah ke, ape ke. Yang penting tiap-tiap bulan, diorang bayar pinjaman tu. Tak kesah la kalau anak bini diorang kene makan pasir ke, batu ke lepas tu.

Kesimpulannya, aku sendiri dah tak yakin dengan nasihat-nasihat yang diberi oleh mamat peguam botak tu. Atau mungkin dia terlupa nak jelaskan lagi satu benda, dimana mereka yang ada masalah nak bayar pinjaman bank perlu kenal dengan orang dalam yang berpangkat besar sebelum pihak bank pertimbangkan masalah mereka. Dalam kes kenalan aku ni, aku rasa masalah dia patut dipertimbangkan. Sebab lepas dia takde kerja, dia still buat kerja lain walaupun pendapatannya tak menentu. Pada masa yang sama dia cuba cari kerja lain. Tapi paham-paham la dalam keadaan ekonomi sekarang, bukan senang nak dapat kerja. Entahlah, mungkin dalam dunia korporat yang serba serbi palsu & kejam ni, memang takde ruang langsung untuk sifat belas kasihan terhadap orang-orang yang betul sesak.

-Sekian-

Friday, October 16, 2009

JEMPUTAN KAHWIN

Assalamualaikum, Buat sahabat2 semua yang reply address hari tu. Saya nak mintak maaf atas kelewatan saya mengirimkan kad undangan perkahwinan. Saya baru je poskan minggu ni. InsyaAllah dalam minggu depan akan sampai ke alamat2 saudara/saudari.

Sebagai back-up plan kalau2 kad x sempat sampai sebelum tarikh majlis saya, saya anto kad thru email je. huhu.....


Tarikh majlis : 24hb Oktober 2009

Masa : 12.00 p.m - 4.00 p.m

Lokasi : Dewan MBSA Seksyen 23

Sila klik imej di bawah :-



Monday, October 12, 2009

DEBAR AKAD NIKAH..KHAS UNTUK BAKAL PENGANTIN LELAKI

Assalamualaikum & salam sejahtera,

Semenjak dua menjak ni, aku rasa macam banyak gila orang yang telah mendirikan rumahtangga. Saudara-mara, kawan-kawan, jiran-jiran, ada je yang kahwin. Jenuh nak memenuhi jemputan. Dan alhamdulillah, aku pun baru je kahwin, saja nak hebahkan kat internet. Kan dalam Islam menggalakkan kita hebahkan berita perkahwinan. Tu sebab lah disuruh adakan kenduri. Tapi sebab internet pun tak kurang hebatnya, aku guna jugaklah..haha!! Sesiapa yang mengenali aku & pasangan isteri, doakan lah kebahagiaan kami dunia & akhirat ye.

Aku teringin nak tulis pasal saat-saat aku masa nak akad nikah hari tu. Untuk orang yang dah ada pengalaman sekali, 2 kali, 3 kali mahupun 4 kali, mungkin korang hadapi benda yang sama. Kalau tak, takpelah, mungkin aku sorang je yang rasa macam tu. Lama sebelum majlis akad nikah, maksud aku dari lepas masa tunang sampai lah nak tinggal seminggu je lagi majlis akad nikah, aku boleh buat selambe je lagi. Kiranya aku ambik mudah la akad nikah tu. Siap buat 'mock rehearsal' lagi depan bini aku (masa tu tunang lagi) banyak kali. Lancar je lafaz aku. Siap gelak-gelak lagi..haha!! Masa tu rasa yakin gila dah. Konon-konon tak ada masalah lah masa betul-betul nanti. Bajet sekali lafaz je, selesai dah. Aku ingat lagi, bini aku pernah tanya samada aku dah betul-betul yakin ke untuk akad nikah nanti. Aku dengan muka yakin (bini aku cakap muka berlagak) jawab boleh, takde masalah, sambil disisip dengan senyuman riak sikit je.

Tapi bila dah masuk tempoh lagi seminggu nak majlis akad nikah, aku macam ada rasa sikit gementar. Tapi bila cuba lafaz akad nikah, masih lancar, masih fasih. Aku pun tak tau apa yang tak kena, tapi buat tak tau je. Dalam tempoh seminggu tu aku beriya jugak la berlatih lafaz ijab & qabul tu sorang-sorang. Tak mau la nak tunjuk cuak depan bakal bini..haha!!

Pejam celik pejam celik, sampai dah hari aku nak bernikah. Masa siap-siap dekat rumah sewa tu, aku cuba-cuba jugak la lafaz. Masa tu baru aku perasan aku agak tergagap-gagap. Adoi....tiba-tiba je nak tergagap pulak. Tapi masa tu jantung aku tak berdegup kencang lagi, maintain cool lagi. Bertolak pergi masjid (akad nikah kat masjid), solat Asar dulu. Masa tu ok lagi, belum berpeluh walaupun masjid tu agak panas keadaannya. Tapi, bila aku jenguk dekat luar masjid & ternampak keluarga belah perempuan, aku mula cuak nak mampus. Jantung debar memang tak ingat punya lah. Aku masuk dalam masjid balik. Duduk bagi tenang sekejap. Lepas tu nampak lah sorang sorang mula masuk. Nampak jugak bakal bini masa tu. Memang cantik, tapi tak mampu nak hayati kecantikan itu. Cuak mengatasi segalanya..huhu.

Lama kelamaan, penuh lah masjid tu dengan ahli keluarga kedua-dua belah pihak. Bila masuk je tok kadi, bertambah lah nervous aku masa tu. Muka kadi lak memang nampak garang gila. Masa tu bini aku mentioned la, "kalau kene tumbuk pun muka masa tu, agaknya tak rasa apa pun". Haha!! Aku rasa statement tu tipu la, tapi kalau betul kene tumbuk masa tu, mungkin aku takde masa la nak balas balik tumbukan si penumbuk. Nervous aku lagi hebat kot dari penumbuk tu. Bakal abang ipar aku sempat la nasihatkan aku, bagi tips saat-saat akhir. Dia cakap, "Nanti masa akad nikah, jangan pandang muka kadi straight kat mata dia. Tunduk sikit, try tengok tangan yang kita salam". Aku pun ikut je la.

Akhirnya aku berjaya diijab & qabulkan dengan sekali lafaz je (ni memang statement berlagak, ikhlas dari aku). Walaupun ada tersengal sikit, sampai ada saksi yang cuba membuat aku kena lafaz akad kali ke-2, namun ternyata kuasa tok kadi lebih mutlak..hahaha!!!! Maka pada 3hb Oktober 2009, terikat lah di antara Norhaizad Ab Rahman & Juraidah Hashim sebagai pasangan suami isteri yang sah di sisi agama Islam (jangan lupa, sekali lafaz sahaja..haha!!).

Kesimpulannya, aku nak cakap di sini, akad nikah ni sebenarnya tak lah semudah yang aku (dan mungkin jugak korang sekali) sangkakan. Member aku Hahahatta siap cakap lagi, "Owh, dulu kau boleh lah berlagak tak cuak masa exam Heat la, Thermo lah. Tapi baru kau tau kecuakan nak akad nikah, sampai berpeluh-peluh". Macam tu lah lebih kurang ayat dia. Serius memang cuak gila. Bagi mereka yang bakal mendirikan rumah tangga, bersiap sedia lah. Tapi dalam perkahwinan ni, akad nikah ni baru benda kecik je. Masih banyak benda-benda yang lagi besar & sukar perlu dihadapi setelah bergelar suami isteri nanti (cakap macam dah lama kahwin je..huhu). Tapi aku ni kira bernasib baik lah sebab dapat tok kadi muka garang tapi sebenarnya 'cool'. Nasib lah kalau ada antara kamu yang berjaya terdapat tok kadi yang suka sangat interview pengantin. Baca lah balik buku yang kita dapat masa pergi kursus kahwin tu..haha!!!

-Sekian-

MAKAN DUIT HARAM

Assalamualaikum & salam sejahtera,

Awal-awal dulu aku ada tulis pasal sewa dewan MBSA kat Shah Alam. Aku cerita pasal sewa dewan MBSA yang tersangatlah mahalnya sebab MBSA dah kontrakkan dewan tu pada orang persendirian. Ni link dia. Kali ni aku nak tulis pulak pasal benda yang ada sangkut paut dengan sewa dewan MBSA ni.

Semalam aku pergi hantar kad jemputan kahwin & beraya sekali rumah sedara mak kat Klang. Rupa-rupanya dia ni suami isteri kerja Majlis Bandaraya/Perbandaran. Suami kerja MBSA & isteri pulak kerja MPSJ. Al-kisahnya lepas bagi kad jemputan, mestilah orang tanya buat majlis kat mana. Bila dah cakap buat kat dewan MBSA Seksyen 23, maka keluarlah soalan lazim, "Nape tak buat kat dewan Seksyen 17 tu?". Maka terpaksalah aku menjawab, "Mahal sangat, tak mampu". Kadang-kadang orang akan pelik lagi bila dengar jawapan tu, sebab dewan yang aku sewa sama je dengan dewan kat Seksyen 17. Lalu, ayah pun mula bercerita pasal dewan-dewan MBSA yang telah dikontrakkan kepada orang persendirian. Maka fahamlah mereka yang pada mulanya rasa amat terkeliru.

Bila dah dengar penjelasan ayah aku, barulah sedara mak ni nak bukak cerita. Walaupun dia bukan menguruskan soal sewa dewan MBSA ni, sedikit sebanyak dia tau lah pasal isu ni. Mungkin dia cuba nak 'backing' MBSA, aku pun tak tau lah, tapi dari penjelasan dia, seolah-olah MBSA TERPAKSA kontrakkan sewa dewan MBSA tu pada orang luar. Sebelum ni, memang MBSA uruskan sendiri soal sewa dewan MBSA. Setiap dewan akan diamanahkan kepada seorang pegawai dari MBSA untuk diuruskan. Masalah timbul bila kawalan terhadap pegawai tak dapat dilakukan. Katakan dalam sebulan, dewan kat Seksyen 17 tu sepatutnya ada 5 hari disewa untuk majlis makan-makan, i.e. kenduri kahwin & ada 20 jam disewa untuk main badminton. Tapi yang ada dalam rekod cuma 2 hari sewa majlis, 10 jam saja untuk sewa main badminton. Yang lain tu rekod entah ke mana, duit pun entah ke mana. Penyelenggaraan masih di bawah tanggungan MBSA. Dalam rekod dewan macam tak selalu pakai, tapi penyelenggaraan yang perlu dilakukan macam banyak kali dah guna. Maka MBSA mengambil langkah untuk kontrakkan urusan sewa dewan ni pada orang persendirian. Kos penyelenggaraan masih di bawah MBSA tapi untung daripada kontrak melebihi kos tersebut. Tambahan pula pendapatan yang stabil untuk MBSA setiap bulan.

Di sini kita boleh nampak betapa penyelewengan daripada segelintir pihak telah menyusahkan beberapa pihak yang lain (penyewa), namun masih ada segelintir yang memperolehi keuntungan (pemegang kontrak). Aku tak tau samada benda ni betul atau tak, tapi ada logiknya penjelasan sedara mak ni. Soal makan duit ni bukan setakat kat MBSA & soal sewa dewan je, kat mana-mana pun ada. Dilakukan segelintir manusia yang memperhambakan diri kepada duit. Teras hidup berlandaskan duit SEMATA-MATA (memang kita perlu duit kat dunia, tapi bukan duit semata-mata). Kalau setakat sewa dewan yang sehari sewa RM300 je orang sanggup nak seleweng, bayangkan lah benda-benda yang mencapai nilai sampai berjuta-juta ke. Hebat tahap godaannya tu. Aku akui betapa hebatnya godaan nilai harta benda ni, tapi buat masa ni aku tak tergamak lagi lah nak makan duit haram ni. Aku harap sampai bila-bila pun aku tak sanggup nak makan duit ni. Aku doakan mereka-mereka yang hidup bergelumang dengan makan duit yang tak sepatutnya ni, berhentilah dari buat benda tu. Ni soal benda yang akan jadi darah daging kita. Tak kisah la bangsa apa sekalipun, agama apa sekalipun, aku tak rasa ada satu pun yang membenarkan kita dari makan duit secara haram ni.

Buat MBSA, aku tak rasa penyelesaian terbaik isu sewa dewan ni ialah dengan kontrakkan pada orang persendirian. Langkah ni menunjukkan MBSA cuba untuk lepas tangan, sebab aku rasa MBSA tak pantau pun harga sewa dewan yang diletak oleh pemegang-pemegang kontrak ni. MBSA aku rasa adalah satu badan di bawah kerajaan negeri, kira kerajaan jugak la kan, huhuhu.. Sepatutnya biarlah MBSA sendiri yang uruskan. Barulah rakyat dapat manfaatnya. MBSA patutnya buatlah pemantauan kat pegawai-pegawai MBSA yang diamanahkan untuk uruskan dewan tu. Pastikan mereka dari golongan-golangan yang jujur dalam kerjanya (mungkin ini yang susah agaknya). Sekadar pandangan aku, tak semestinya betul.

Kesimpulannya apa yang aku nampak di sini, rakyat yang rugi. MBSA masih dapat pendapatan hasil kontrak sewa dewan. Pemegang kontrak dapat untung jugak, sebab selalunya harga sewa dewan yang diorang letak memang mantap. Rakyat juga yang terpaksa terima je dengan apa yang ada. Kadang-kadang sedih bila memikirkan rakyat tidak diberikan pilihan yang sewajarnya. Macam keluar mulut harimau, masuk mulut buaya. Bukankah tanggungjawab kerajaan (negeri ke, pusat ke) untuk menyediakan rakyat pilihan yang wajar. Aku rasa kerajaan sekarang ni mengambil kesempatan atas sifat rakyat-rakyat golongan bawahan ni yang selalu senyap je & ikut saja apa yang diberikan oleh pemerintah. Mungkin nak tunggu rakyat memberontak dengan senjata serang pejabat kerajaan baru sibuk-sibuk nak perah otak fikir untuk kebaikan rakyat. Tak lupa juga untuk mengajak mereka yang suka makan duit haram untuk insaf & tak amalkan lagi benda terkutuk tu. Buat yang berjaya kekang diri dari melakukan benda tu, berdoalah supaya terus ditabahkan hati & iman.

-Sekian-

Thursday, October 8, 2009

DIMANAKAH BANTUAN YANG DIJANJIKAN, OH PEMERINTAH.....

Assalamualaikum & salam sejahtera,

Hari ni aku nak tulis pasal apa yang telah diceritakan oleh ayah & memberi sedikit sebanyak pandangan aku. Pada satu hari Jumaat yang mulia, aku tak ingat 'exact' tarikh, ayah aku pergi menunaikan solat Jumaat di masjid Al-Amin (lelaki wajib menunaikan solat Jumaat, kalau ada yang masih tak tau atau tak pernah nak ambil tau). Hari tu agak istimewa sikit sebab masjid Al-Amin dikunjungi oleh 'orang besar' (apalah yang besar aku pun tak tau), tak lain tak bukan, Menteri Besar Selangor sendiri, Khalid Ibrahim (aku bantai sebut nama je, tak tau apa gelaran dia. Lagipun apalah yang ada pada gelaran di sisi Allah). Antara ucapan dia yang betul-betul aku ingat (yang ayah cakap la) ialah mengenai bantuan kewangan untuk anak-anak Selangor ataupun anak-anak kepada anak-anak Selangor sebanyak RM1000 - RM1500. Kalau anak orang-orang kaya mesti fikir apalah sangat duit banyak tu, tapi bagi aku, duit tu memang tersangatlah banyaknya.

Aku rasa itu merupakan satu tindakan yang bagus yang dilaksanakan oleh Menteri Besar berpartikan Parti Keadilan Rakyat (PKR). Kalau zaman Khir Toyo susah sikit lah agaknya nak laksanakan benda ni. Maklumlah, sibuk buat banglo besar yang setaraf dengan istana dah. Sedangkan nenek saudara aku bersusah payah bergelumang dengan selut & lumpur dekat rumah di Meru, Klang bila hujan lebat sebab banjir. Tapi tak boleh nak cakap apalah, dia pakai duit gaji sendiri nak buat banglo tu kan? (berapa gaji Menteri Besar ek?) Berbalik kepada isu bantuan kewangan tadi. Rancangan memang bagus, tapi macam mana dengan perlaksanaan? Masa ayah dengar ucapan MB tu, dah masuk 5 bulan ayah hantar borang permohonan untuk bantuan tersebut bagi adik aku yang dah berjaya lanjutkan pelajaran ke IPT, tapi sampai sekarang terus sepi tanpa khabar berita. Sampai ke tidak borang tu? Ke tak layak? Kalau tak layak, tak kan senyap je, mesti ada surat pemberitahuan.

Aku tanya ayah, "Nape tak terus tanya je kat MB masa tu jugak pasal borang yang dah 5 bulan menyepi tu?". Lantas ayah menjawab mudah, "Ayah malu, dia kan MB.". Bagi aku betul jugak jawapan ayah tu. Kita rakyat yang dibawah ni dah terlalu terbiasakan diri memandang tinggi orang-orang kenamaan ni. Memandang tinggi bukan atas dasar sumbangan atau kebajikan yang pernah dilakukan, tetapi berdasarkan pangkat/gelaran yang sibuk memanjang di hadapan nama diorang. Sedangkan ikut logik akal, mereka ni yang kena segan & malu dengan kita. Kita ni yang dah naikkan mereka. Sebab undi kitalah mereka dapat capai jawatan besar tu. Patutnya mereka bertambah-tambah segan lagi kalau rakyat di bawah pimpinan mereka masih ramai yang mengeluh, membuktikan banyak lagi yang mereka perlu lakukan demi rakyat. Tapi sekarang, sebaliknya yang berlaku. Mereka ni pulak suka meluaskan lagi jurang antara diri mereka dengan rakyat. Macam manalah rakyat tak rasa segan dengan mereka. Naik kereta Mercedes, rakyat naik Kancil. Duduk rumah banglo, rakyat masih lagi ada yang duduk rumah buruk sempit. Melancong pergi luar negara, rakyat masih ada yang melancong takat taman depan rumah sahaja. Naik kapal terbang 1st class, rakyat ada yang nak naik komuter pun pikir 2-3 kali perlu ke tak. Rakyat mungkin tak meminta untuk orang-orang kenamaan ni untuk letak diri mereka setaraf dengan rakyat. Yang rakyat nak, hanyalah untuk mereka ni berusaha untuk kurangkan & seterusnya hapuskan keluhan-keluhan rakyat.

Tapi dalam soal perlaksanaan bantuan yang mereka rancangkan, aku tak letak kesalahan ni atas bahu diorang. Kemungkinan besar ada yang tak kena dalam sistem itu sendiri. Maklumlah, bila dah banyak sangat protokol, mesti ada banyak ruang untuk kesilapan berlaku. Tapi aku harap, kelemahan sistem tak menjadi satu alasan untuk diorang yang berkuasa daripada lepas tangan. Sedikit sebanyak kelancaran sistem bergantung pada diorang. Jangan asyik sibuk nak mesyuarat dengan Dato' sana, lepas tu ada 'lunch appointment' dengan Dato' sini pulak. Memanjang asyik jumpa orang yang ada pangkat je dekat depan nama tu. Tolonglah tengok-tengokkan rakyat yang dekat bawah ni. Jangan nak tunggu masa pilihanraya baru nak sibuk konon-konon turun padang.

Kesimpulannya, macam mana dengan borang permohonan bantuan kewangan untuk adik aku? Tolong la jawap Encik Khalid Ibrahim.

-Sekian-

Friday, October 2, 2009

PTPTN SENARAI HITAM MEREKA YANG TAK BAYAR PINJAMAN, PADAN MUKA UNTUK GOLONGAN TERTENTU.

Assalamualaikum & salam sejahtera,

Pagi tadi aku dengar radio HotFM. Topik yang dibicarakan ialah tindakan PTPTN menyenarai hitamkan nama pelajar yang tidak atau liat dalam melunaskan hutang PTPTN mereka di jabatan imegresen. Maknanya para pemiutang-pemiutang ini akan dihalang dari meninggalkan negara Malaysia yang tercinta ini. Kalau yang dah ada dekat luar negara, aku tak pasti macam mana status mereka.

Aku rasa dah banyak kali PTPTN ada masalah dengan mereka yang berdegil tidak mahu bayar pinjaman mereka. Aku pun tak berapa nak ingat, apa tindakan-tindakan yang pernah diambil oleh pihak PTPTN untuk memaksa para peminjam ni untuk membayar. Tapi tindakan kali ini kemungkinan besar akan memberi impak pada sebahagian besar para pemiutang.

Pertama sekali, aku mungkin (tak yakin 100% lagi) bersetuju dengan langkah yang telah diambil oleh PTPTN kali ini. Kenapa? Aku tahu, tak semua yang meminjam PTPTN ni orang yang senang & datang dari keluarga yang kaya raya bagai nak rak. Kalau tidak kenapa nak pinjam PTPTN kan? Tapi aku yakin mesti ada dalam ramai-ramai yang meminjam PTPTN tu, ada yang dah berjaya mendapat pekerjaan yang cukup baik (baik = gaji agak besar). Kemungkinan besar mereka ini kerja di syarikat-syarikat GLC, tak pun syarikat-syarikat dari luar negara. Lagi hebat kalau bekerja dalam bidang 'Oil & Gas'. Jadi persoalannya dekat sini, kenapa tak nak bayar? Aku rasa aku tau, tapi tak payah la nak cakap. Gaji dah besar, tapi masih tak nak bayar. Lagi-lagi mesti selalu kerja 'outstation', mesti 'claim' pun gila punya banyak. Jadi mungkin PTPTN sengaja melaksanakan tindakan ini kerana sasaran mereka adalah terhadap golongan yang aku ceritakan di atas.
Aku tak tahu la kalau memang PTPTN memikirkan perkara ni sebelum hukuman ini dikuatkuasakan. Mungkin kebetulan sahaja. Namun ada pengecualian yang aku nak nyatakan. Pengecualian adalah untuk mereka yang kerja seperti di atas, tapi berasal dari golongan memang teramatlah susah (adik beradik kecil ramai lagi, mak ayah dah tak kerja).

Bagi mereka yang tak termasuk dalam pengecualian yang aku sebutkan di atas, maka padanlah dengan muka kamu semua. Dah tentu nanti mereka akan menghadapi kesukaran dalam pekerjaan mereka. Syarikat yang hebat-hebat & mampu bayar gaji mahal ni, dah tentu ada banyak perniagaan di luar negara. Kebarangkalian mereka yang kerja tu sedikit sebanyak perlu untuk 'outstation'. Kalau dah Jabatan Imegresen senarai hitamkan mereka, macam mana mereka nak 'outstation'? Kalau dah sampai susah untuk laksanakan kerja, mesti prestasi pun akan terganggu. Kalau majikan rasa ini adalah satu halangan dalam mengembangkan perniagaan mereka, tak mustahil mereka ni akan dipecat.

Kalau yang kerjanya tak perlu 'travel' sana sini, jangan rasa kamu terselamat. Aku rasa mereka ni pula jenis yang suka melancong ke sana sini dengan hasil gaji mereka yang lumayan. Lokasi pilihan sudah tentulah luar dari negara Malaysia. Nak buat apa melancong dalam negara. Dulu masa belajar dah puas pusing keliling 1 Malaysia (pakai duit PTPTN..haha!!). Tapi kesannya tak lah seteruk golongan yang sebelum ni, namun kena jugak lah.

Rasa pelik aku membuak-buak bila tengok golongan macam ni yang langsung tak nak bayar pinjaman PTPTN. Aku rasalah, kehidupan mereka memang agak mewah (tak termasuk golongan terkecuali), tapi kenapa tak diperuntukkan sebahagian kemewahan yang mereka dapat tu untuk bayar pinjaman. Peruntukkan mereka dilebihkan untuk beli baju, kasut, jam jenama mahal, makan kat tempat-tempat bajet eksklusif (TGI, Chilli's, Vic Station), melancong luar negara. Tak sedar ke tindakan kamu ni menyusahkan para peminjam yang bukan termasuk dalam golongan kamu (akan ku tulis dalam 'post' lain)? Mereka yang lain tu kalau boleh memang nak bayar, tapi kadang-kadang terpaksa 'held back' sebab takut ada keperluan yang lebih mendesak dalam kehidupan sehari-hari. Jangan haraplah nak tengok senang-senang je golongan lain ni 'shopping' baju/seluar/kasut berjenama, pergi makan kat restoran-restoran yang mahal mahupun pergi bercuti hatta di dalam negara sekalipun. Sedih tau kalau mak ayah/adik beradik/teman wanita/tunang/isteri teringin nak beli baju ada jenama/makan dekat selain dari warung/bercuti nak 'release tension', tapi keinginan tu tak dapat dipenuhi oleh golongan ini. Gaji tak seberapa, tapi hutang yang memang kena ada sangatlah banyak.

Kesimpulannya, untuk golongan-golongan sasaran yang aku maksudkan, tolonglah bayar pinjaman PTPTN kamu. Jangan asyik nak cerita kamu beli itu ini yang berjenama hebat, makan dekat sana sini yang memang kalau tanya orang kampung, mereka langsung tak tau (kadang-kadang aku yang duduk bandar ni pun tak tau), sibuk pergi bercuti ke Phuket, Bali, Eropah dll. Lepas tu nak merungut/merengek tak cukup duit bila hujung bulan. Jadikan alasan tak dapat nak bayar PTPTN. Marah kerajaan lepas tu. Memang aku rasa nak penampar sepak terajang je orang macam tu.
Apa-apa pun tahniah kepada PTPTN kerana mengambil langkah ini. Tapi aku berharap PTPTN akan lebih bertimbang rasa kepada golongan-golongan yang tak termasuk dalam kategori yang aku ceritakan di atas.

-Sekian-


*Pada masa yang sama, aku turut berpesan pada diri sendiri untuk melunaskan pinjaman pelajaran aku. Bukan PTPTN, sebaliknya MARA. Tapi tak bermakna aku boleh suka-suka je tak nak bayar. Walaupun sekarang aku bayar sangkut-sangkut, tapi aku memang dah berjanji akan cuba bayar sampai habis. Tadi baru bayar untuk bulan ni punya..hehe. Untuk pengetahuan, aku bukan dalam golongan yang diceritakan di atas, belum lagi..huhu...*