Tuesday, November 3, 2009

KENYATAAN TAK BERAPA NAK PANDAI

Assalamualaikum & salam sejahtera,

Aku baru je lepas singgah kat blog Tony Pua, YB PJ Utara. Aku jumpa satu benda menarik dari salah satu entri dia, di mana dia tulis balik ucapan dia masa 2010 Budget Speech. Untuk pengetahuan, aku tak berpaksi pada mana-mana parti pun, jadi anggap lah pandangan aku kali ini bebas dari sikap 'biased'. Aku cuma berpihak pada mana-mana pihak yang kempennya adalah untuk menaik tarafkan kehidupan semua rakyat, tak kira la pekerja bawahan mahupun pemimpin tertinggi, & dengan cara yang tidak bertentangan dengan agama Islam.

Dalam ucapan Mr. Tony Pua, dia ada sentuh mengenai pengangkutan awam. Dia mintak bidang kuasa untuk naik tarafkan pengangkutan awam diserahkan pada Kerajaan Negeri, berbanding sekarang yang diletak bawah Kerajaan Pusat. Untuk sokong hujah dia bagi la statistik peningkatan pemilik kereta di Malaysia dan lebih spesifik lagi di Lembah Klang. Aku setuju dengan pendapat dia bila dia kata kenderaan seperti kereta dah menjadi satu keperluan yang sangat penting, disebabkan oleh pengangkutan awam yang sedia ada masih tidak cukup efisien. Bila dah jadi satu keperluan, maka kebanyakan orang akan beli kerana terpaksa. Maka dengan tiba-tiba, muncul seorang hero, cuba untuk menyelar apa yang cuba diperkatakan oleh Mr. Tony Pua. Sebab aku rasa tak semua rajin nak klik hyperlink ke blog Mr. Tony Pua, aku 'copy paste' je la dialog hero tu,

Terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan juga Yang Berhormat Petaling Jaya Utara. Yang Berhormat sebut tadi bahawa orang beli kereta kerana terpaksa, mana Yang Berhormat tahu?

Belum habis lagi, soalan belum habis. Tunggu dahulu. Kalau dia terpaksa, maknanya orang tidak mampu beli kereta, kalau dia tidak mampu macam mana dia boleh bayar. Orang yang tidak mampu bayar, barulah dia terpaksa. Ini dia boleh bayar setiap bulan, apa pula terpaksa. Lagi satu ini belajar Cambridge Oxford, tetapi otak tidak betul, tidak reti ekonomi. Apa pasal? Apabila kereta banyak, itu menunjukkan bahawa negara ini maju. Itu as simple as that Tuan Yang di-Pertua. Pergi belajar baliklah, Cambridge kah?

Quoted from Tony Pua's blog

Lepas aku baca je dialog dia, aku rasa ada satu perasaan geli hati yang geli geleman disertai dengan rasa jengkel. Kat sini aku nak ulaskan sedikit demi sedikit kenapa aku rasa sedemikian rupa dengan 'statement' dia.

Yang pertama, dia cakap, "Kalau terpaksa, maknanya orang tidak mampu beli kereta". Sesuka hati je dia nak buat penaakulan mantik macam tu. Terpaksa = Tak mampu? Sepatutnya yang lebih sesuai ialah 'Terpaksa = Tidak mahu'. Aku bagi contoh senang la. Tol batu tiga kat Lebuhraya Persekutuan tu. Aku dari Shah Alam nak ke Kuala Lumpur. Setiap kali aku lalu tol tu, aku akan rasa menyampah sangat. Kenapa? Sebab aku sebenarnya terpaksa bayar tol tu. Adakah disebabkan aku tak mampu untuk bayar RM1.10 untuk sekali lalu tol tu, maka aku rasa terpaksa? Kalau aku tak mampu, apakejadahharamnya aku nak lalu tol tu?! Kalau aku takde RM1.10, boleh ke aku lepas dari palang gate tol tu? Jadi, kenapa aku rasa terpaksa? Sebab aku nak sampai tempat kerja yang kat KL tu. Memang la ada pilihan lain, tapi kena lalu tol jugak & lagi mahal. Boleh tak hero tu cuba implemenkan contoh yang aku bagi tu pada senario beli kereta ni?

Kalau tak reti nak implemen, aku boleh terangkan. Aku nak pergi kerja hari-hari, nak cari duit untuk bagi makan, minum, pakai & macam-macam keperluan lagi untuk keluarga. Tempat kerja kat Ara Damansara. Duduk kat Shah Alam. Macam mana aku nak sampai ke tempat kerja aku dari rumah? Pengangkutan awam, dah tengok, memang takde. Maka terpaksa lah aku beli kereta walaupun aku tau itu bukanlah pilihan bijak. Namun itu adalah pilihan bangang yang paling baik sekali. Macam Basuh Baju pernah cakap, kita hanya diberikan pilihan yang bangang.

Disebabkan oleh pilihan bangang yang paling bijak ni jugak la, kita terpaksa berkorban benda lain. Maka bertambahlah rasa terpaksa tu tadi. Dalam kes tol tu, aku terpaksa lalu tol batu tiga jugak sebab tol lain mahal. Jangan ingat dah gila kentang la dapat lalu jalan tol murah. Disebabkan nak elak tol mahal, maka terpaksalah aku bersedia menghadap kesesakan lalulintas sejurus lepas bayar tol. Keluar lah awal macam mana pun, mesti kena jugak la. Dah la keluar awal, kena hadap kesesakan lak, kena bayar tol lagi. Berganda-ganda rasa keterpaksaan tu..haha!! Kalau dalam kes beli kereta ni pulak lebih kurang je la. Dah beli kereta, bulan-bulan kena bayar ansuran. Kena potong duit gaji lak. Maka terpaksa la berjimat & potong perbelanjaan kat tempat lain. Dah takde lagi la nak pergi bercuti ke, buat aktiviti menyeronokkan ke. Bajet dah takde, buat bayar ansuran kereta. Lepas tu kena selalu kerja lebih masa selalu pulak, kurang la masa nak habis masa dengan keluarga. Semuanya dibuat atas dasar terpaksa. Bukan sebab tak mampu. Aku harap hero tu sedar la ketidak sealirannya 'terpaksa' & 'tak mampu' dalam konteks yang diperbincangkan ini.

Yang kedua, dia dengan tak matangnya berkata, "Apabila kereta banyak, itu menunjukkan bahawa negara ini maju". Ini memang lagi tak boleh 'handle' la penaakulan dia. Kereta banyak = Negara maju. Aku rasa apa yang dia cuba cakap ialah, lagi banyak kereta, maka sebenarnya makin ramai la orang yang kaya. Ini sejajar dengan penaakulan dia sebelum ini, di mana orang beli kereta bukan sebab terpaksa, tapi sebab mampu atau terlebih mampu atau bahasa senangnya kaya la. Sebab bagi dia, yang rasa terpaksa tak mampu beli kereta (pening kepala aku dibuatnya). Dia ni tak tau ke sebenarnya kereta ni adalah satu liabiliti ke atas pemiliknya. Orang kaya bukannya ada banyak liabiliti, tapi banyak aset macam rumah, tanah. Harga makin lama makin tinggi. Kereta makin lama makin naik ke harganya? Minyak yang dipakai kereta tu selalulah naik harganya. Nak kena bayar cukai jalan lagi, renew insurans lagi, maintenance lagi. Bila dah macam tu, jadilah kereta tu liabiliti wahai hero. Lepas tu perhatikan la kebanyakan orang beli kereta apa je. Kereta murah je, pastu bukan beli 2-3 biji, sebuah je sekadar mencukupkan keperluan. Kalau semua orang beli kereta-kereta mewah, takpun beli kereta 5-6 biji baru la penaakulan kau tu boleh diterima.

Yang akhir sekali aku tak puas hati sebab dia seolah-olah tersimpang dari topik sebenar. Tony Pua tengah cerita pasal kelemahan pengangkutan awam, statistik peningkatan jumlah kenderaan tu cuma fakta untuk sokong hujah dia. Sepatutnya hero tu kena la sentuh atau bertanya mengenai pengangkutan awam. Bukan sibuk-sibuk nak bangkang penggunaan statistik peningkatan jumlah kereta untuk sokong hujah Tony. Tapi tu la, aku pun pelik sebenarnya. Macam mana lah orang yang berfikir macam ni dapat jadi YB, ada pangkat Dato' lagi. Bukan mempersoalkan kredibiliti dia, tapi patutkah tak dipersoalkan bila dia keluar 'statement' macam ni dari mulut dia? Sekarang baru aku tahu kenapa kebelakangan ni banyak sangat keputusan pelik-pelik yang dibuat oleh kerajaan. Lepas tu terlalu banyak sangat pertunjukkan sarkas dalam Parlimen. Sebab ada orang yang mindanya berfikir sedemikian rupa.

Yang paling best, dia siap sound Tony suruh belajar balik, sebab kononnya Tony tak faham ekonomi. Tapi selambe je Tony jawab macam ni,

Saya tidak akan menjawab soalan daripada “katak yang berada di bawah tempurung"
Quoted from Tony Pua's blog

Haha!! Memang kelakar. Tak dapat aku bayangkan muka hero tu bila dengar Tony cakap macam tu. Tapi dah memang patut pun. Aku rasa ada ramai lagi budak-budak muda, yang lagi muda dari hero tu & takde pangkat Dato', boleh keluarkan hujah yang lagi baik daripada dia.

-Sekian-

*Hero tu merupakan YB Pasir Salak. Sekali lagi peringatan kat sini. Aku bukan pro mana-mana parti politik. Aku cuma bagi pendapat aku berdasarkan apa yang aku lihat, baca & faham. Aku cuma menyokong sesiapa yang berjuang untuk kebajikan setiap umat manusia, tak kira orang miskin, orang biasa, orang kaya, orang putih, orang hitam, orang Islam, orang Kristian, orang Buddha........(list can goes on). Dan kebajikan yang dilakukan tak bertentangan dengan prinsip-prinsip dalam agama yang aku anuti*

No comments: