Wednesday, September 30, 2009

MENGAPA TALIAN PERLU DIPOTONG BILA SOALAN SENSITIF DIUTARAKAN?

Assalamualaikum & salam sejahtera,

Pagi tadi aku bangun untuk sahur puasa enam di bulan Syawal. Bagus buat puasa enam ni, seolah-olah kita puasa sepanjang tahun. Jadi marilah kita sama-sama mengamalkannya. Maaf, tersasar dari objektif sebenar 'posting' kali ni. Berbalik kepada perkara yang ingin aku tuliskan di sini. Kalau sahur dengan mak ayah aku, mereka mesti akan pasang TV3. Masa dalam pukul 4.00 a.m - 5.00 a.m. Selalunya akan disiarkan rakaman rancangan Al-Kuliyyah (betul tak ejaan aku?) yang selalu ada di TV3 petang hari Jumaat yang mulia. Aku tak pasti apa topik yang dibicarakan, tapi aku rasa perbincangan berkisar mengenai sunnah Nabi Muhammad s.a.w., nabi & rasul terakhir untuk agama Islam (ada ke yang tak tahu? tapi aku pernah jumpa mereka yang menafikannya..dalam dunia blog je).

Jadi sampai satu bahagian ni, tibalah masa untuk para penonton samada di studio mahupun di rumah mengajukan soalan kepada ahli panel. Ada panggilan dari seorang lelaki, nama dia aku tak ingat sebab tak popular pun. Dia bertanya mengenai undang-undang yang diguna pakai di Malaysia buat masa ini. Aku tak berapa nak hafal ayat dia satu persatu, tapi lebih kurang macam nilah bunyinya, "Kenapa di Malaysia tak pakai undang-undang Islam yang berteraskan Al-Quran dan sunnah?". Aku dapat rasa dia masih ada benda yang hendak diperkatakan, tapi tiba-tiba sahaja panggilannya terputus. Kemungkinan besar TM dah potong 'line' telefon dia sebab ada bil tertunggak 10 bulan ke, tak pun sebab 'system down' macam Celcom sebab 'heavy traffic' ke. Entah lah.

Inilah satu benda yang aku perhatikan selalu dilakukan oleh media-media rasmi negara. Maksud aku, bila ada rancangan ilmiah macam Al-Kuliyyah ni, bila ada penonton yang bertanyakan soalan-soalan 'SENSITIF DI MATA KERAJAAN', maka sepantas kilat talian akan dipotong. Tak pun, cara yang lebih sopan apabila pengacara cuba melengah-lengahkan si penanya & akhirnya talian tetap dipotong. Mungkin jika ini berlaku di rancangan terbitan RTM, adalah munasabah kerana RTM dikendalikan@dikuasaai kerajaan. Bagaimana pula dengan TV3? TV3 ni syarikat kendalian kerajaan ke? Ataupun memang ada dalam Akta Penyiaran Negara (ada ke? aku main belasah je) melarang media menyiarkan apa-apa yang 'SENSITIF DI MATA KERAJAAN'? Sesiapa yang tahu tolong beritahu aku. Mengapa perlu dipotong? Adakah pertanyaan atau pun pendapat yang akan diutarakan mampu menggugat keamanan negara? Atau setakat menggugat kredibiliti kerajaan yang memerintah?

Bagi aku sikap media yang suka potong talian pemanggil yang bertanyakan soalan-soalan yang 'SENSITIF DI MATA KERAJAAN' amat tidak professional dan juga memalukan. Apa salahnya jika soalan pemanggil itu dilayan dengan elok. Tapi ada pengecualian di sini. Melainkan si pemanggil cuba bertanya & memberi pendapat untuk tempoh masa yang amat panjang (lebih dari 5 minit, macam dia ahli panel pulak), maka eloklah jika dibiarkan pemanggil itu menghabiskan percakapannya. Ini membolehkan masyarakat kita yang pada masa itu sedang menonton rancangan tersebut dapat membuka minda & mula berfikir secara kritis. Kalau asyik-asyik bagi soalan skema je, contoh, "Apa pendapat ahli panel mengenai gejala mat rempit yang menular kebelakangan ini?", sampai bila orang Malaysia boleh berfikir dengan minda yang lebih intelek? Salahkah rakyat Malaysia untuk bertanyakan permasalahan-permasalahan yang timbul dalam pemerintahan negara dan memberikan buah fikiran mereka. Ke masalah pemerintahan negara ni hanya layak dibincangkan oleh menteri-menteri sahaja semasa mereka melepak di kelab-kelab eksklusif? (berbincang ke mereka pasal masalah negara?)

Bagi aku, media-media macam TV3, RTM, NTV7 dan lain-lain lagi, adalah medium yang bagus untuk rakyat yang ada kesedaran untuk bertanya dan meluahkan pendapat mengenai pemerintahan negara. Ruang ini boleh digunakan untuk diskusi yang boleh ditonton oleh segenap lapisan masyarakat. Bukan semua orang ada akses mudah ke internet macam aku dan kamu. Kemudian biarkan ahli panel menjawab dengan sejujur-jujurnya. Janganlah bila ada orang bercerita sikit tentang kepincangan pemerintahan, terus nak melenting. Pergi 'banned' terus orang tu. Sepatutnya pemerintah terimalah dengan hati terbuka, gunakannya untuk memantapkan lagi sistem. Kalau tak dengar masa ni, bila lagi menteri-menteri ni nak dengar pendapat/rintihan/pertanyaan rakyat-rakyat ni? Kalau ada pun masa mereka nak dengar, mesti masa-masa nak dekat dengan pilihanraya. Adakah menteri-menteri ni ingat kesusahan/rintihan rakyat ni ada masa dekat nak pilihanraya je? Kalau kita tulis surat mahupun e-mail, baca ke mereka ni?

Kesimpulannya, pemerintah ni tugasnya berkhidmat untuk rakyat. Tolonglah dengar apa yang nak disuarakan oleh rakyat ni. Rakyat dah tak ada cara lain untuk suarakan pendapat mereka melainkan melalui media. Kalau nak buat temujanji bukannya senang. Nak ke menteri ni buat temujanji dengan orang yang tak ada gelaran Dato', Tan Sri, Tun di hadapan nama mereka? Entah lah.

-Sekian-

2 comments:

Anonymous said...

haha..mmg begitu la media kawalan kerajaan malaysia skrg.

kalu perasan, ada 3 syarikat (atau kumpulan lg sesuai?) yg menguasai rangkaian infotainmen (haha infotainmen ni xde dlm kamus dewan).
1. kerajaan rtm1&rtm2
2. media prima tv3 8tv ntv7 tv9
3. astro

yg no 1&2 tu mmg sah2 la "kamceng".
yg no 3 tu cm "atas pagar". tp xde la atas pagar sgt.

bab "sensitif pd mata kerajaan" tu mmg dh diamalkn sejak sekian lama.

sedangkan allahyarham bekas mufti selangor dato ishak baharom pn dia boleh buang, ni kn pula kita yg tidak ada apa2 title.

bukan menghasut, tp mengajak berfikir :)

susah2, nnt pilihanraya jgn pilih diorg..haha :D

haizad said...

farghmee :

Memang tak paham dengan media Malaysia ni. Asyik-asyik nak jaga kepentingan kerajaan yang memerintah je. Sedangkan yang telefon tu cuma nak bagi buah fikiran, mengajak kita sama-sama berfikir. Tapi kalau dah asyik nak potong je, lama-lama mesti bengang.

Agak-agaknya pernah ke ada penonton yang dekat studio pernah tanya soalan yang 'SENSITIF DI MATA KERAJAAN'? Aku tak pernah nampak lagi, tak tahu la kalau ada terlepas ke? Ke sebenarnya memang tak ada sebab penonton di studio memang sudah ditapis sehabis-habisan..haha!!